Click Here For Free Blog Templates!!!
Blogaholic Designs

Pages

Monday, May 21, 2012

Kanser Serviks



Kesihatan

Barah serviks adalah diantara barah kerap terjadi terhadap wanita yang menyerang organ reproduksi. Ia terjadi apabila sel yang normal pada serviks (pangkal rahim) bertukar menjadi sel barah.

Sebab ia terjadi?

Ia disebabkan oleh virus human papilloma yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalu dapat menangkis serangan virus ini dari menjangkiti wanita tetapi, bagi sebahagian kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel yang terdapat pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh dari kanser ini terjadi pada mereka yang berusia 35-55 tahun.
Dengan ujian saringan pap smear, kadar kematian kanser serviks berkurangan dengan banyaknya. Walaubagaimanapun ia masih merupakan pembunuh ke 2 terbanyak selepas kanser payudara.

Tanda dan gejala

Anda mungkin tidak mengalami sebarang tanda terutama pada peringkat awal. Apabila menjadi semakin serius, anda mungkin akan mengalami:
  • Pendarahan semasa bersama
  • Pendarahan ditengah bulan
  • Pendarahan selepas menopos
  • Keluar lendir berdarah dan berbau busuk dari faraj
  • Sakit semasa seks

Siapa Wanita yang berisiko untuk mendapat kanser cerviks?

Fakta berikut boleh meninggikan risiko anda untuk kanser serviks
  • Mempunyai pasangan berbilang
  • Aktiviti Seks bermula sebelum usia 18
  • Mengalami jangkitan kuman seperti syphilis, gonorhoea, chalmydia atau HIV
  • Kurang daya tahan imun
  • Merokok

Apa yang doktor akan lakukan sekiranya saya mempunyai gejala di atas?

  1. Ujian Pap
    Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan menghantar kemakmal . Ujian ini akan mengesan sebarang ketidaknormalan pada cerviks seperti sel pra-barah. Digalakan untuk mengambil ujian ini setiap tahun untuk mengesn kanser peringkat awal. Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa.
  2. Ujian HPV
    Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang specifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebabkan utama kanser pangkal rahim.
  3. Colposcopy
    Doktor akan mengunakan mikroskop yang khas untuk memeriksa pangal rahim anda untuk sebarang ketidaknormalan. Sekiranya ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar kemakmal. Kadang-kadang biopsi kon akan dibuat sekiranya didapati sel barah sudah merebak lebih dalam.
  4. Rawatan
    Rawatan bergantung kepada keterukkan kanser tersebut dan sejauh mana ia sudah merebak. Sekiranya diperingkat awal pembedahan buang rahim akan disarankan dan pembedahan yang lebih radikal akan dilakukan sekiranya kanser sudah merebak keorgan organ berdekatan. Rawatan sampingan lain termasuk radiasi dan kemoterapi.

Bagaimana untuk mencegahnya?

Anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser pangkal rahim dengan mencegah jangkitan kuman HPV. HPV merebak melalui hubungan seks, jadi pengunaan kondom boleh mengurangkan risiko HPV.
Selain dari itu, anda juga boleh mengurangkan jangkitan HPV dengan:
  1. Berhubungan seks dengan 1 pasangan sahaja
  2. Elakkan hubungan seks pada usia muda
  3. Tidak merokok
  4. Mendapat imunisasi terhadap jangkitan HPV
  5. Suntikan Vaksin

Vaksin terhadap HPV

Sekarang sudah terdapat vaksin yang boleh mencegah kebanyakkan dari strain HPV yang menjadi punca kepada kanser serviks. Gadis seawal usia 13 tahun adalah digalakan untuk mengambil vaksin ini. Ia boleh mencegah sehingga 70% dari jangkitan HPV dan walaupun ia lebih efektif sekiranya diberikan sebelum gadis menjadi aktif secara seksual, ia juga disarankan kepada semua wanita sehingga usia 46 tahun.

Dimanakah saya boleh mendapatkan suntikan vaksin ini?

Vaksin boleh didapati dimana mana klinik GP atau klinik pakar berdekatan

Kanser Payudara - Punca, Gejala dan Rawatan


Apa Itu Kanser Payudara?

Kanser payudara terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.

Kanser payudara meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita. Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Di sepanjang hidupnya seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28.

Pengelasan Kanser Payudara

Kanser payudara dikelaskan mengikut beberapa faktor seperti kanser lain. Faktor yang biasa diambilkira ialah tisu punca, lokasi tumor atau tisu punca, jenis tisu atau histologi, gred tumor, peringkat tumor, kemunculan dan aktiviti tumor, status nodus dan perebakan. Mula-mula sel bertukar struktur tetapi berada di lokasi asal di dalam duktus atau membran basemen lobul. Kemudian berlaku mitosis (penduan sel) dan metastasis (perebakan) melalui membran basemen dan bergerak ke kawasan terpencil di dalam badan.

Tanda dan Gejala Kanser Payudara

Pembentukan gumpulan merupakan tanda biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang. Kemungkinan nodul asimptomatik akan muncul sebelum tanda atau gejala lain timbul. Sakit payudara atau mastodinia atau sakit pada gumpulan merupakan satu lagi gejala kanser payudara di peringkat awal. Kemudian tanda-tanda radang seperti sakit, panas, kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulit dan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal. Kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai “peau d’orange”.

Gumpulan mungkin terjadi di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk. Kulit payudara mungkin kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung. Puting mungkin terpusing ke dalam, menjadi merah atau bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal. Apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda seperti demam, seram sejuk, sakit tulang dan sendi, sakit kuning, gejala neurologi dan curahan (efusi) pleura. Kelemahan adalah tanda atau gejala awal kanser payudara mungkin tidak kelihatan, justeru kaum wanita perlu mengambil inisiatif membuat diagnosis dengan memeriksa sendiri payudara dan juga menjalani ujian payudara setiap tahun.

Peringkat Kanser Payudara

Untuk mendiagnosis kanser payudara, pemerhatian dibuat melalui mamografi atau MRI payudara. Peringkat kanser payudara ditentukan mengikut sifat sel atau tahap pembiakan (proliferasi).

Peringkat 0 atau tumor kanser di tempat asalnya (karsinoma in situ) dikira sebagai risiko kanser payudara tanpa kehadiran penyakit itu sendiri. Karsinoma lobular in situ atau LCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam kelenjar payudara. Karsinoma duktal in situ atau DCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam duktus payudara.

Peringkat I merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak. Peringkat II juga merujuk kepada kanser payudara pada peringkat di mana ukuran tumor adalah antara 2 hingga 5 sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2 sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak.

Peringkat III ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka atau tulang dada.

Peringkat IV merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada.

Kaedah Rawatan

Rawatan bergantung kepada ciri-ciri atau kelas kanser payudara. Terdapat beberapa jenis rawatan seperti kemoterapi, pembedahan dan homoeopathy (dan lain-lainrawatan alternatif). Prognosis (ramalan) kanser payudara pada peringkat awal selalunya adalah baik, tetapi di peringkat akhir, seperti juga dengan kanser lain adalah tidak baik.



Ujian kehamilan di rumah



Ujian kehamilan di rumah mengesan kehadiran hormon kehamilan iaitu human chorionic gonadotrophin (hCG) dalam air kencing anda. Badan anda mula menghasilkan hCG apabila telur yang telah disenyawakan melekat (implantasi) pada uterus (rahim) anda. HCG dirembeskan oleh sel-sel yang akan membentuk plasenta (uri). Ia boleh dikesan dalam air kencing anda daripada kira-kira enam hingga 14 hari selepas persenyawaan berlaku. 

Dalam masa beberapa hari selepas implantasi, tahap hCG anda akan meningkat dengan cepat. Kebanyakan alat penguji kehamilan cukup sensitif untuk mengesan hCG dalam air kencing pada hari pertama haid anda sepatutnya datang. 

Jika anda mendapat keputusan negatif pada kali pertama membuat ujian, ini mungkin kerana jumlah hCG belum mencecah tahap di mana ia boleh dikesan. Kadang-kadang tahapnya belum cukup tinggi untuk dikesan pada hari pertama haid anda sepatutnya tiba. Jika haid anda lewat dan keputusan yang anda perolehi negatif, tunggu beberapa hari kemudian uji lagi. 

Anda akan dapati sesetengah alat penguji kehamilan lebih sensitif daripada yang lain. Alat penguji yang paling sensitif boleh menunjukkan anda hamil walaupun jika terdapat sedikit sahaja hCG dalam badan anda. 

Anda boleh mengetahui berapa sensitif alat penguji kehamilan itu dengan membaca maklumat yang ada pada kotaknya. Anda akan dapati bahawa konsentrasi hCG diukur dalam unit mili-Internasional (mIU) per mililiter. Alat penguji dengan kesensitifan 20 mIU/ml adalah lebih sensitif daripada yang berkesensitifan 50 mIU/ml. 

Bilakah saya patut membuat ujian? 

Kebanyakan alat penguji boleh menunjukkan samada anda hamil atau tidak pada hari pertama haid anda lewat. Alat penguji yang lebih sensitif mungkin boleh mengesan hCG pada tahap yang rendah beberapa hari sebelum haid anda dijadualkan tiba. Walau bagaimanapun, membuat ujian seawal ini mungkin tidak memberikan anda keputusan yang tepat (lihat di bawah). 

Bergantung kepada alat penguji yang anda gunakan, anda boleh membuat ujian pada bila-bila masa sepanjang hari. Cuba jangan minum terlalu banyak sebelum membuat ujian kerana ini boleh mencairkan hCG dalam air kencing anda. 

Sesetengah alat penguji mencadangkan anda membuat ujian pada waktu pagi, apabila anda pergi ke tandas untuk kali pertama pada hari itu. Ini terutamanya jika anda menguji pada hari-hari yang awal. Ini kerana, tahap hCG menjadi lebih pekat dalam air kencing semasa anda tidur pada waktu malam, oleh itu ia lebih mudah dikesan dalam air kencing pertama anda. 

Jika haid anda tidak teratur, mungkin sukar untuk mengenalpasti bilakah haid anda sepatutnya tiba. Sebagai panduan, anda boleh gunakan kitaran yang paling panjang dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebelum membuat ujian. 

Jika anda baru berhenti mengambil pil perancang, anda mungkin tidak tahu berapa panjangkah kitaran haid anda secara semula jadinya, dan mungkin membuat ujian samada terlalu awal atau terlalu lewat. Jika ujian anda negatif, anda patut membuat ujian lagi dalam masa tiga hari. 

Bagaimanakah cara menggunakan alat penguji kehamilan di rumah? 

Mula-mula, baca arahan dengan cermat, kerana setiap jenama mempunyai arahan yang berlainan. 

Bagi kebanyakan alat penguji, caranya semudah kencing pada kayu penguji itu. Sesetengah yang lain pula memerlukan anda mengumpul air kencing dalam cawan kecil dan kemudian mencelupkan alat penguji itu ke dalamnya. Atau, anda mungkin diberi alat penitik yang digunakan untuk menitikkan sedikit sampel air kencing ke atas alat penguji. 

Bagaimana keputusan ujian ditunjukkan juga berlainan. Sesetengah alat penguji menunjukkan garisan merah jambu atau biru. Sesetengah yang lain pula menunjukkan tanda campur atau tolak, atau menukar warna sampel air kencing anda. Ujian digital pula memaparkan perkataan "pregnant" (hamil) atau "not pregnant" (tidak hamil) pada satu tingkap, dan ada juga yang memberi anggaran sudah berapa minggu anda hamil. 

Berapa lamakah masa diambil untuk mendapat keputusannya? 

Periksa arahan yang disertakan dengan alat penguji anda. Tetapi biasanya keputusan dapat dilihat dalam masa tiga hingga lima minit, walaupun ia mungkin terasa seperti satu penantian yang terlalu panjang. 

Jika anda membuat ujian itu dalam tandas, anda mungkin mahu pergi ke bahagian lain dalam rumah dan mencari sesuatu untuk dibuat bagi mengalihkan perhatian. Bak kata pujangga, penantian itu satu penyiksaan! 

Adakah ujian kehamilan di rumah tepat? 

Alat penguji kehamilan di rumah adalah tepat jika anda ikut arahan dengan betul. Seperti yang dinyatakan tadi, sesetengah alat penguji lebih sensitif, serta mudah digunakan dan ditafsirkan berbanding yang lain. 

Adakah keputusan negatif palsu boleh berlaku? 

Ada beberapa sebab mengapa ujian kehamilan anda menunjukkan negatif. Anda mungkin tidak hamil, atau mungkin tahap hCG anda belum mencukupi untuk dikesan melalui ujian air kencing. 

Jika anda membuat ujian terlalu awal, sebelum hari pertama haid anda lewat, anda mungkin mendapat keputusan negatif palsu kerana hormon yang dikeluarkan oleh badan anda belum mencukupi. 

Jika anda mendapat keputusan negatif tetapi masih berpendapat anda hamil, tunggu sekurang-kurangnya tiga hari, dan buatlah ujian semula. 

Adakah keputusan positif palsu boleh berlaku? 

Positif palsu, iaitu di mana keputusan ujian menunjukkan anda hamil tetapi sebenarnya tidak, adalah jarang tetapi tidak mustahil berlaku. Sesetengah ubat-ubatan seperti pil kesuburan yang mengandungi hCG, mungkin menjejaskan keputusan ujian. (Ubat-ubat biasa yang boleh dibeli di kaunter seperti paracetamol, tidak menjejaskan.) 

Kadang-kala anda boleh mendapat garisan samar yang boleh jadi sukar untuk ditafsirkan. Ketahui apa mungkin maksudnya

Di manakah saya boleh beli alat penguji kehamilan? 

Anda boleh beli alat penguji kehamilan di kebanyakan farmasi dan supermarket. Anda juga boleh membelinya dalam talian. Anda tidak perlukan surat doktor untuk membelinya. 

Apakah beza ujian kehamilan di rumah dengan yang dijalankan oleh doktor? 

Ramai doktor yang menggunakan alat penguji kehamilan di rumah untuk memastikan kehamilan, maka dalam hal ini kedua-duanya adalah sama. 

Kadang-kala, wanita diberi ujian darah, yang turut menguji kehadiran hCG. Ujian darah lebih sensitif daripada ujian air kencing. Ia boleh menunjukkan samada anda hamil atau tidak sebaik sahaja telur yang telah disenyawakan melekat. Ini boleh jadi seawal enam hari selepas anda berovulasi. 

Anda boleh membuat ujian darah untuk lebih tahu mengenai apa yang sedang berlaku pada awal kehamilan (sebelum imbasan ultrabunyi boleh mengesan kehamilan). Ia boleh membantu mengesan kehamilan ektopik atau kehamilan molar. Ia juga satu cara yang baik untuk mengetahui bahawa tahap hCG meningkat seperti sepatutnya bagi kehamilan yang sihat. 

Anda boleh mendapatkan ujian darah di klinik doktor anda atau di hospital

(ditulis untuk baby center malaysia)

10 tanda penting kehamilan




Jika anda sangat peka dengan sebarang perubahan dalam badan anda, anda mungkin mula menjangka anda hamil tidak lama selepas persenyawaan. Tetapi kebanyakan wanita tidak mengalami sebarang simptom awal kehamilan sehingga telur yang telah disenyawakan melekat pada dinding uterus, beberapa hari selepas persenyawaan. 

Sesetengah yang lain pula tidak perasan sebarang tanda kehamilan selama beberapa minggu dan mula tertanya-tanya "Adakah saya hamil?" hanya apabila mereka tidak datang haid. Berikut ialah senarai beberapa tanda awal kehamilan. Anda mungkin mengalami kesemuanya, sesetengah daripadanya, atau tiada langsung simptom-simptom kehamilan ini. 

1. Mengidam 
Ya, bunyinya seperti klise, tetapi mengidam kadang kala boleh jadi satu tanda kehamilan. Janganlah bergantung kepadanya sebagai simptom yang pasti (ia mungkin hanya di kepala anda, atau mungkin juga tanda bahawa badan anda kekurangan nutrien tertentu), tetapi jika mengidam itu diikuti dengan beberapa simptom lain dalam senarai ini, mulalah mengira hari daripada hari pertama haid terakhir anda. 

Ketahui lebih lanjut mengenai apa yang diidamkan wanita semasa hamil dan apakah tandanya

2. Warna areola menjadi gelap 
Jika kulit di sekeliling puting payudara anda menjadi lebih gelap, ini mungkin bermakna proses persenyawaan telah berjaya. Walau bagaimanapun, ini mungkin juga tanda ketidakseimbangan hormon yang tidak berkaitan dengan kehamilan, ataupun bekas daripada kesan kehamilan terdahulu. 

3. Pendarahan atau kekejangan akibat implantasi 
Kira-kira lapan hari selepas ovulasi, anda mungkin mengalami pendarahanimplantasi, iaitu terdapat tompok-tompok darah berwarna merah jambu atau coklat, serta sedikit kekejangan. Ini disebabkan telur membenam masuk ke dalam lapisan endometrium. Anda juga mungkin mengalami keadaan yang sama menjelang kedatangan haid anda. 

4. Kerap membuang air kecil 
Sebaik sahaja embrio melekat dan mula menghasilkan hormon human chorionic gonadotropin (hCG), anda mungkin mendapati anda perlu membuang air kecil lebih kerap

5. Keletihan 
Berasa letih? Bagaimana kalau sangat letih? Tahap hormon progesteron yang tinggi boleh membuatkan anda berasa seperti baru selesai berlari maraton sedangkan anda hanya bekerja seharian di pejabat. Keletihan adalah tanda pentingawal kehamilan, walaupun ia mungkin bukanlah simptom yang pasti tanpa kehadiran simptom-simptom lain. 

6. Payudara melembut dan membengkak 
Sebelum kedatangan haid, payudara anda mungkin menjadi begitu sensitif terhadap sentuhan, dan jika anda hamil, perkara yang serupa akan berlaku, tetapi pada tahap yang lebih sedikit. Apabila badan anda telah biasa dengan peningkatan hormon ini, kesakitan akan hilang. 

Baca lebih lanjut mengenai payudara sakit

7. Deria rasa berubah 
Anda mungkin perasan perubahan pada deria rasa anda. Sesetengah wanita mengatakan mereka merasa sedikit payau di mulut, dan sesetengah yang lain mengatakan mereka tidak dapat tahan rasa kopi, teh atau makanan yang biasanya mereka suka. 

8. Mabuk hamil pagi 
Jika anda bernasib baik, anda tidak akan mengalami mabuk hamil pagi (morning sickness) sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan. (Sesetengah wanita yang sangat bertuah tidak mengalaminya langsung.) Tetapi seawal dua hari selepas persenyawaan, anda mungkin mula berasa loya dan tidak sedap perut. Dan ini bukan sahaja berlaku pada waktu pagi. Loya akibat kehamilan boleh jadi berlaku pagi, petang atau malam. 

Baca lebih lanjut mengenai cara menangani loya dan muntah semasa hamil

9. Tidak datang haid 
Jika haid anda biasanya teratur dan kini ia lambat, elok juga jika anda buat ujian kehamilan. Tidak datang haid ialah tanda kehamilan yang paling pasti bagi seorang wanita yang telah baligh dan yang mempunyai kitaran haid yang teratur. 

Dan akhir sekali... 

10. Ujian kehamilan yang positif 
Jika anda telah menunggu untuk membuat ujian kehamilan sekurang-kurangnya sehingga hari pertama anda tidak datang haid dan garisan biru kelihatan dalam kotak alat penguji, anda sangat pasti akan menjadi seorang ibu. Buatlah temu janji dengan doktor anda untuk memastikan berita baik ini, dan tuju terus ke bahagian kehamilan kami. Tahniah! 

Tidak dapat bertahan dengan pening dan loya? Turut sertalah dalam komuniti kami dan lihat apa kata ibu-ibu lain. 




(Ditulis untuk BabyCenter Malaysia)

Panduan mengemas beg hospital anda




Anda kini berada di peringkat akhir, dengan hanya beberapa minggu sahaja lagi sebelum tibanya tarikh anda dijangka bersalin. Inilah masanya untuk mengemas beg bagi kesemua barang yang anda perlukan semasa pelahiran dan selepas bayi anda dilahirkan

Cetak senarai semak ini untuk membantu anda mengingati semua yang anda perlukan. Bagus jika anda dapat siap mengemas beg menjelang minggu ke-36kehamilan, supaya anda tidaklah kelam-kabut menyiapkan segala-galanya semasapelahiran bermula nanti! 

Setiap hospital mempunyai polisi berbeza mengenai apa yang boleh anda bawa bersama ketika hendak melahirkan. Anda mungkin mahu membawa beberapa barang peribadi daripada rumah seperti bantal atau kusyen kegemaran untuk menjadikan persekitaran di bilik hospital selesa dan tidak berasa terlalu seperti di hospital. Periksalah dengan pihak hospital mengenai apa yang mereka sediakan dan apa yang anda boleh bawa sendiri. Tetapi anda perlu ingat bahawa tempat penyimpanan di hospital adalah terhad, jadi anda mungkin terpaksa menyimpan segala-galanya dalam kabinet kecil di sebelah katil anda. 

Keperluan semasa peringkat awal pelahiran 

Kemungkinan besar anda akan memerlukan:
  • Pelan pelahiran anda.
  • Gaun tidur. Ia berguna jika anda mahu berjalan mundar-mandir di koridor hospital semasa awal pelahiran.
  • Selipar.
  • Stoking. Percaya atau tidak, kaki anda boleh menjadi sejuk semasa pelahiran.
  • Baju tidur atau kemeja-T lama untuk dipakai semasa pelahiran, jika anda tidak mahu memakai gaun hospital. Ia mungkin akan menjadi agak kotor, jadi jangan beli sesuatu yang khas untuk dipakai di hospital.
  • Minyak urut atau losyen jika anda ingin diurut semasa pelahiran.
  • Pelembap bibir.
  • Snek dan minuman untuk anda semasa dalam peringkat pelahiran, atau sedikit tablet glukosa untuk membolehkan anda terus bertenaga.
  • Jam tangan dengan jarum saat, untuk mengukur jangka kontraksi anda.
  • Kamera digital atau kamkoder. Jika anda mahu membawa kamkoder, semak dengan pihak hospital dahulu kerana tidak semua hospital membenarkannya di dalam bilik bersalin.
  • Bahan-bahan yang menenangkan: buku, majalah, permainan dan sebagainya.
  • Gambar seseorang atau sesuatu yang anda kasihi. Ini untuk memberi inspirasi kepada anda supaya terus bertahan sehingga semuanya berakhir.
  • Mesin TENS untuk melegakan kesakitan jika anda bercadang untuk menggunakannya.
  • Kelengkapan peribadi.
  • Penyembur air, atau kipas tangan untuk memastikan anda sentiasa nyaman.
  • Muzik untuk didengar.

Untuk teman pelahiran anda 

Teman pelahiran boleh jadi suami atau ahli keluarga seperti ibu atau kakak. Teman pelahiran anda akan memerlukan:
  • Sesalinan pakaian.
  • Snek dan minuman. Anda tidak mahu teman pelahiran yang ternyahhidrat serta kelaparan menjaga anda.

Untuk selepas bersalin 

Semasa di hospital, anda mungkin memerlukan:
  • Sesalinan pakaian untuk pulang ke rumah. Ia akan mengambil sedikit masa untuk perut anda mengecut jadi anda masih perlu memakai pakaian mengandung apabila pulang ke rumah.
  • Coli menyusu, sekurang-kurangnya dua atau tiga helai.
  • Pelapik payudara untuk apabila susu badan anda mula mengalir.
  • Tuala wanita selepas bersalin jika tidak disediakan secara percuma oleh pihak hospital.
  • Kelengkapan peribadi termasuk tuala, sikat, berus gigi dan ubat gigi.
  • Seluar dalam lama/murah/pakai buang. Asalkan bukan seluar dalam yang anda sayang kerana ia mungkin akan jadi kotor. Jika anda terpaksa menjalani pembedahan, pihak hospital mungkin menyediakan seluar dalam getah yang selesa dipakai menutupi parut pembedahan.
  • Penyumbat telinga, jika anda ditempatkan di wad yang bising!
  • Telefon bimbit anda serta pengecasnya.

Untuk bayi anda 

Si manja akan memerlukan:
  • Sebuah kerusi kereta bayi.
  • Sepasang pakaian untuk perjalanan pulang ke rumah (pakaian lembut menganjal semua-dalam-satu adalah paling mudah). Pihak hospital biasanya menyediakan gaun bayi untuk dipakai semasa di hospital.
  • Selimut bayi.
  • Lampin.
  • Sepasang stoking atau sarung kaki bayi.
  • Topi.
  • Kain muslin empat persegi.
Sebaik sahaja anda selesai mengemas beg hospital, ingatkan diri anda tentangtanda-tanda awal pelahiran supaya anda tahu bila tiba waktu hendak bersalin! 



(Ditulis untuk BabyCenter Malaysia)

Bilakah masanya selamat untuk saya memberikan bayi .... ?



Terdapat banyak kekeliruan tentang bilakah selamat untuk memperkenalkan sesuatu makanan untuk bayi. Ibu yang mula memperkenalkan pepejal awal kepada bayi mereka sering mendengar rayuan menderu-deru "telur tak boleh, kacang tak boleh, buah sitrus tak boleh, gandum tak boleh, kismis tak boleh, kiwi tak boleh", dan senarai pantang larang ini kian bertambah. Kadang-kala nasihat yang diberikan khusus untuk bayi yang mempunyai kesulitan tertentu, contohnya, bayi dari keluarga yang mempunyai sejarah alergi yang ketara, langsung diterima dan digunapakai untuk semua bayi. Jika keluarga anda menghidapi penyakit asmaekzema ataualergi makanan, adalah baik jika anda berbincang dengan doktor keluarga untuk mengetahui sama ada bayi anda perlu mengelakkan makanan tertentu untuk masa yang lebih panjang. 

Kementerian Kesihatan mengesyorkan penyusuan badan selama enam bulan. Bacalah artikel kami tentang memperkenalkan pepejal untuk maklumat lanjut. 

Jika anda memilih untuk memperkenalkan pepejal lebih awal dari enam bulan setelah berbincang dengan doktor anda, ada sebilangan makanan yang anda patut elak sebelum usia enam bulan. Bacalah artikel di sini untuk maklumat tepat supaya boleh membezakan antara fakta dan dongeng. 

Gandum, oat dan lain makanan mengandungi gluten 

Risiko dijangkiti penyakit seliak berkurangan jika anda menghindarkan dari mengambil makanan mengandungi gluten, seperti gandum, gandum hitam dan makanan berasaskan barli. Ini termasuk roti, tepung gandum, pasta, sesetengah bijirin sarapan dan biskut rusk sehingga usia enam bulan. Oat elok dielakkan juga, sebab ia mungkin diproses di kilang yang juga memproses gandum. 

Telur 

Telur masak boleh dimasukkan ke dalam diet bayi anda apabila dia berusia enam bulan. Anda harus menghindari daripada menggunakan telur mentah dalam diet bayi sebab kadang-kala ianya mengandungi salmonela, yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Apabila memasak telur untuk bayi anda, pastikan telur dan putih telur itu kental. Atas rasional yang sama, adalah baik untuk tidak memberikan anak anda sebarang makanan yang berkemungkinan mengandungi telur mentah, seperti campuran kek yang tak masak, ais krim buatan rumah atau mayones, atau makanan pencuci mulut yang mengandungi telur mentah, seperti mousse. 

Kacang-kacang 

Memang benar yang anda sepatutnya tidak memberi kacang bulat kepada kanak-kanak berusia di bawah lima tahun sebab risiko tercekik. Tetapi mentega kacang dan kacang kisar sesuai untuk untuk bayi lebih dari enam bulan dan kanak-kanak yang tidak mempunyai sejarah alergi keluarga. 

Alergi yang serius terhadap kacang-kacang dan produk kacang, dan jenis kacang tertentu menjejaskan kurang daripada satu peratus populasi. Bayi anda mungkin lebih berisiko jika anda, suami anda, dan adik beradik, mempunyai masalah alergi seperti hayfever (alergi gatal disebabkan debu), penyakit asma dan/atau ekzema. 

Dahulu disyorkan bahawa jika anda atau suami anda mempunyai sejarah alergi, anda mungkin mahu cuba mengelakkan kacang tanah semasa kehamilan dan penyusuan badan, dan tidak memberikan anak anda kacang tanah untuk tiga tahun pertama usianya. Namun begitu, Agensi Piawaian Makanan UK telah mengatakan bahawa nasihat ini harus ditarik balik, sebab tiada bukti yang cukup untuk mempertahankannya. Walau bagaimanapun, alergi kacang tanah jarang terdapat di kalangan orang Asia. 

Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi, dapatkan nasihat doktor anda apabila hendak bercerai susu. Anda juga mungkin mahu merancang untuk membawa bayi anda berjumpa dengan pakar alergi. 

Makanan bijan, seperti minyak bijan, biji bijan 

Alergi bijan kian bertambah, dan sama seperti alergi kacang tanah, alergi bijan boleh melarat, dan boleh membawa kepada anafilaksis. 

Sekiranya keluarga terdekat bayi anda tiada sejarah alergi, anda boleh memberikan anak anda makanan bijan seperti tahini (pes bijan) apabila usianya mencecahenam bulan. Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi, dapatkan nasihat pakar pediatrik tentang bercerai susu. Anda boleh juga meminta dia mengaturkan perjumpaan bayi anda dengan pakar alergi. 

Ikan dan produk ikan 

Agensi Piawaian Makanan UK mengesyorkan bahawa anda seharusnya tidak memberi sebarang ikan atau makanan kerang kepada bayi lebih muda dari enam bulan, sebab terdapat kebarangkalian kecil yang mereka akan mendapat reaksi alergi. 

Kanak-kanak juga patut jangan makan ikan yu, ikan todak atau marlin. Ikan-ikan ini mengandungi tahap merkuri yang tinggi dan boleh menjejaskan perkembangan sistem saraf kanak-kanak yang sedang membesar. 

Jangan berikan kerang-kerangan mentah kepada bayi dan kanak-kanak, sebab makanan ini membawa risiko keracunan makanan yang tinggi. 

Ikan, terutama ikan lemak atau berminyak, seharusnya menjadi sebahagian daripada diet yang sihat. Kanak-kanak dan dewasa disyorkan memakan sekurang-kurangnya dua hidangan ikan setiap minggu. Satu daripadanya harus ikan berminyak. 

Ikan segar seperti salmon, trout, kod, haddock, ikan dalam tin seperti sardin dan sardin besar, termasuk produk ikan seperti jejari ikan dan kek ikan semuanya merupakan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak. Elak dari memberi ikan tin yang diawet dengan air masin, sebab tahap garam dalamnya adalah lebih tinggi daripada ikan yang disimpan dalam minyak. 

Kacang soya dan produk berasaskan soya 

Setengah kanak-kanak kecil mempunyai reaksi alergik terhadap soya dan produk soya termasuk susu formula soya. Simptom alergi soya sama seperti alergi susu, dan melibatkan ruam tebal, cirit-biritmuntah-muntah, perut memulas dan sesak nafas. Jarang sekali, namun boleh berlaku, ialah anafilaksis. Kanak-kanak yang alergik terhadap susu lembu sepatutnya diberikan formula berasaskan soya selepas mendapat nasihat perubatan sebab bayi yang alergik terhadap susu lembu juga kadang-kala alergik terhadap soya juga. Susu dihidrolisis tinggi atau formula kasein adalah alternatif kepada susu dan formula berasaskan soya. Mintalah nasihat doktor anda. 

Buah kiwi 

Ada segelintir orang yang melaporkan reaksi terhadap buah kiwi. Setengah reaksi ini adalah serius, terutama yang melibatkan kanak-kanak, dan bilangan orang yang terjejas nampaknya semakin bertambah. Ini mungkin berkaitan dengan peningkatan penyakit alergi secara keseluruhan, apatah lagi buah ini telah menjadi semakin popular di kalangan kanak-kanak. 

Buah kiwi merupakan sumber yang kaya dengan vitamin C, kalium dan serat. Jika anak anda sudah mempunyai alergi terhadap makanan tertentu, atau jika terdapat sejarah alergi keluarga, anda dinasihatkan supaya tidak memberi anak anda buah kiwi sebelum usia enam bulan. (Sebaik-baiknya, anda tidak memperkenalkan sebarang pepejal sebelum usia enam bulan, melainkan anda dinasihatkan sebaliknya oleh doktor keluarga anda atau pakar pediatrik.) 

Madu 

Madu ialah gula, dan memberikan anak anda gula menggalakkan kegemaran terhadap makanan manis dan mengakibatkan kerosakan gigi. Agensi Piawaian Makanan UK mengesyorkan bahawa anda tidak memberi anak anda madusebelum usia satu tahun, sebab ada kalanya ia mengandungi bakteria yang boleh mengeluarkan toksin dalam usus bayi. Ini dikenali sebagai botulisme bayi. Apabila bayi anda mencapai usia satu tahun, ususnya sudah matang dan sudah boleh menangani bakteria dari membiak. 

Kismis 

Kismis dan lain buah kering seperti kismis anggur hijau menyediakan snek berkhasiat bagi bayi yang lebih tua atau kanak-kanak bertatih. Walau bagaimanapun, sebarang makanan berkeping kecil mempunyai potensi risiko bayi tercekik, apatah lagi jika umur anak anda kurang dari satu tahun. Oleh itu, adalah baik jika anda hadir semasa anak anda mencuba makanan jejari seperti kismis dan anda harus memastikan yang dia telah sudah cukup sedia dari segi perkembangannya untuk mengunyah dan boleh duduk tegak secara sempurna, selain dari menguasai pegangan sepit untuk mencengkam dengan ibu jari dan jari telunjuk dan mengangkat barang. 

Buah sitrus 

Buah sitrus seperti oren, oren mandarin, limau gedang, lemon dan limau nipis mengandungi banyak vitamin C. Sebelum usia enam bulan, bayi tidak seharusnya diberikan jus buah dan buah sitrus. Jika anda membeli makanan bayi tersedia, telitikan label untuk mengetahui sama ada ia mengandungi buah sitrus seperti lemon sering dimasukkan ke dalam puri makanan bercerai susu awal seperti epal dan pisang. Jika memberi jus buah, berikan untuk hidangan utama sahaja dan pastikan ia betul-betul cair (satu bahagian jus untuk 10 bahagian air) dan berikannya dalam cawan atau bikar, bukan botol. Jika diminum secara cepat, ianya membantu mengurangkan risiko kerosakan gigi akibat kehadiran gula-gula dan asid secara semula jadi. 

Strawberi and raspberi 

Buah berbiji kadang-kala menyebabkan reaksi alergi bagi bayi. Tunggulah sampai bayi anda berusia enam bulan sebelum memberikannya. Reaksi alergik terhadap buah-buah jenis ini dan sayur-sayuran selalunya tidaklah serius, setakat menjejaskan mulut, menyebabkan rasa gatal atau ruam tebal di tempat-tempat di mana makanan itu menyentuhi bibir dan mulut. Ini dikatakan sindrom alergi mulut. 

Susu lembu 

Pada umumnya, pakar bersependapat bahawa anda seharusnya tidak memberi bayi anda susu lembu atau produk susu lembu sehingga bayi anda berusia enam bulan. Dari umur enam bulan, bolehlah anda mencampurkan sedikit susu lembu penuh krim dalam masakan, contohnya dalam sos keju atau kastard. Elakkan daripada memberi susu lembu sebagai minuman sehingga bayi anda berusia satu tahun, sebab ianya terlalu rendah dalam zat besi dan khasiat lain. Susu rendah lemak tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah dua tahun, tetapi boleh diberikan apabila mencapai umur dua tahun, asalkan tabiat makan anak anda itu sempurna, dietnya bervariasi, dan berat badannya normal. Jika tidak, gunakan susu penuh lemak sehingga anak anda berumur lima tahun. Susu rendah lemak tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah lima tahun sebab jumlah kalori dan vitamin penting dalamnya terlalu rendah. 

Susu kambing dan biri-biri 

Jangan beri susu kambing atau biri-biri kepada bayi di bawah satu tahun. Jika anda memilih untuk menggunakannya selepas setahun, pastikan ianya dipasteurkan. 

Susu formula menyusul 

Susu menyusul (atau susu membesar) diperbuat dari susu lembu dan dipasarkan atas kepercayaan yang ianya kaya dengan zat besi. Tidak ada keperluan untuk membeli formula membesar untuk menggantikan formula bayi. Jika anda bercadang menggunakannya juga, pastikan usia bayi anda sudah melebihi enam bulan. 

Keju 

Keju ialah satu sumber yang kaya dengan kalsium, dan menyediakan konsentrasi sumber tenaga. Anda boleh memasukkan sedikit keju dalam diet bayi anda dari usia enam bulan. Keju lapuk matang yang lembut, seperti brie dan camembert, tidak sesuai, sebab mempunyai risiko bakteria listeria. 

Makanan serat tinggi 

Makanan berserat tinggi adalah tidak sesuai untuk bayi atau kanak-kanak muda. Penggunaan roti mil penuh, pasta dan bijiran tidak menjadi masalah, tetapi elakkan daripada memberi makanan ini terlalu banyak sebab ianya akan memenuhkan perut anak anda, dan menjejasan pemakanan makanan lain. 

Jangan masukkan sekam bijiran ke dalam makanan bayi anda sebab ia menghalang mineral penting tertentu daripada menyerap masuk. Berikan makanan berkanji yang bervariasi, termasuk pelbagai mil penuh untuk anak anda tetapi elakkan daripada menggunakan makanan mil penuh secara ekslusif sehingga anak anda berusia lima tahun. 

Teh 

Minuman teh tidak disyorkan untuk bayi atau kanak-kanak kecil. Ianya mengurangkan penyerapan zat besi apabila diambil dengan hidangan utama, ia mengandungi kafeina dan boleh melecurkan mulut bayi anda. Jika teh ditambah gula, ia juga menyumbang kepada kerosakan gigi. 

Minuman bergas dan minuman soda 

Minuman skuasy, minuman soda bergas, juga susu berperisa dan minuman jus tidak sesuai untuk bayi dan kanak-kanak yang baru mula bertatih. Ini disebabkan kanak-kanak yang banyak diberikan minuman manis, terutama sekali minuman bergas dan skuasy, didedahkan kepada risiko kerosakan gigi sebab minuman itu telah dicampur dengan gula dan mengandungi asid. Juga terdapat risiko bagi kanak-kanak yang "menyerempet" (graze iaitu makan snek) sepanjang hari menjejaskan selera mereka untuk mengambil makanan yang lebih berkhasiat. Setengah kanak-kanak juga akan menghidap "cirit-birit kanak bertatih" sebab terlalu banyak mengambil skuasy. 

Pati jus buah mengandungi banyak vitamin yang mujarab untuk kesihatan kanak-kanak, terutama sekali vitamin C. Gula-gula yang terkandung dalamnya adalah bahaya untuk gigi, jadi cairkan minuman itu dengan baik (satu bahagian jus untuk 10 air), berikan jus semasa hidangan utama sahaja, dan gunakan cawam atau bikar, bukan botol. Minuman yang terbaik untuk kanak-kanak pada masa selang antara hidangan utama ialah air dan susu. Ini tidak mengandungi gula-gula yang boleh merosakkan gigi. Susu juga mengandungi vitamin dan mineral penting, seperti kalsium, vitamin B2 dan B12. 














Khasiat Jus Buah-buahan




Minum jus secara teratur ternyata dapat menyembuhkan berbagai penyakit yang ringan. Berikut beberapa jenis buah yang dapat dinikmati sebagai jus yang menyihatkan badan:
1. Aprikot
Buah ini banyak mengandung protein dan vitamin seperti vitamin A, B, B2, B3, dan C.Buah bergizi tinggi ini sangat baik jika dimakan setiap hari. Apalagi aprikot tidak mengandung kolesterol dan baik untuk melancarkan peredaran darah. Lemak dari isinya baik untuk dijadikan krim pelembab.
2. EpalBuah epal mengandungi banyak magnesium, zat besi dan silikon, potasium, fosfor, sodium dan kalsium. Epal juga mengandung vitamin A, B, dan C. Zat asam pada epal merupakan zat pembersih tubuh yang sangat baik serta dapat menyembuhkan keradangan pada tubuh. Sisa hampas jus (sari) epal dapat digunakan untuk meneutralkan lemak pada wajah.
3. Limau
Semua jenis limau merupakan sumber vitamin C yang utama. Ia dapat membantu memperkuatkan jaringan otot-otot urat dan dinding pembuluh darah. Penderita gusi berdarah, gigi rosak dan sakit sendi dapat diatasi dengan segelas jus limau atau lemon setiap hari.
4. Timun
Sayuran ini enak dimakan mentah serta menyihatkan. Hirisan timun ditempelkan ke mata setiap tiga minit selama 20 minit pada kelopak mata untuk mengatasi mata yang sering letih dan mengantuk. Jus timun merupakan salah satu diuresis terbaik untuk melancarkan pembuangan air kecil dan menurunkan darah tinggi.